Halaman

07 December 2011

Sikap wakil rakyat Pas uzur tidak sanggup berundur diselar

Oleh; Esah Abdullah

Sikap segelintir wakil rakyat pembangkang yang masih ghairah menawarkan diri untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang walaupun dalam keadaan uzur dan bertongkat, ditempelak pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Dato’ Haji Rosol Wahid (BN-Ajil), berkata keadaan ini berbeza dengan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) kerana mereka sedia memberi laluan kepada muka baru walaupun masih mampu berkhidmat kepada rakyat.

“Berbanding dengan pembangkang murninya sikap wakil rakyat BN yang sedia menawarkan diri untuk berundur bagi memberi laluan kepada muka baru,” katanya dalam sesi perbahasan Ucapan Bajet 2012 di Sidang Dewan Undangan Negeri petang ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, tidak sehina mana bila kakitangan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) membantu Kerajaan BN berbanding tindakan wakil rakyat pembangkang menggunakan masjid dan surau sebagai medan untuk mencaci dan memaki umat Islam lain.

Dato’ Rosol juga mengajak semua pemimpin dan penyokong Pas agar melupakan fahaman politik dan bersama mengeratkan ikatan silatulrahim sesama saudara seagama dan satu budaya.

“Pilihan raya hanya mari lima tahun sekali, pangkahlah apa pun Pas ke UMNO, tapi bila lepas pilihan raya berdamailah,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa terkilan kerana terdapat sebuah pertubuhan menggelarkan diri mereka ANAK telah menjelajah ke tanah rancangan bertujuan menghasut peneroka supaya membenci kerajaan.

Beliau seterusnya mencabar peneroka di Felda yang bencikan kerajaan supaya meninggalkan tanah rancangan itu untuk membina kehidupan baru di luar penempatan itu.