Halaman

24 December 2011

Prestasi PMR luar bandar merosot

Oleh: Aida Abd Rahman

Pencapaian calon luar bandar dalam keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini di seluruh Terengganu sedikit merosot berbanding di bandar.

Berdasarkan gred purata, pencapaian luar bandar 2.72 berbanding bandar 2.42. Pada tahun lalu, prestasi luar bandar lebih baik dengan pencapaian 2.67 berbanding di bandar 2.47.

Gred purata bandar meningkat 0.05 berbanding tahun lalu, manakala luar bandar menurun 0.05.

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Hashim Mohd Zin, berkata pelbagai punca yang mungkin mendorong kepada kemerosotan prestasi luar bandar pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

Antaranya, faktor geografi dan jarak sekolah dengan tempat tinggal yang menyukarkan guru serta pelajar berulang-alik ke sekolah lebih kerap terutama untuk menghadiri kelas tambahan serta tuisyen di sekolah mahupun yang berbayar di pusat-pusat tuisyen swasta.

Katanya, lebih banyak pusat tuisyen swasta wujud di bandar dan memberi peluang kepada pelajar serta ibu bapa memilih mana-mana tempat belajar yang terbaik.

“Faktor lainnya juga, guru yang berpengalaman lebih berminat mengajar di bandar. Guru yang berpengalaman ramai memohon mengajar di bandar kerana pelbagai kemudahan tersedia di bandar.

“Bagaimanapun, saya percaya kemerosotan itu tidak akan berterusan kerana pelajar luar bandar sudah membuktikan prestasi baik mereka sebelum ini,” katanya.

Terengganu meneruskan legasi kecemerlangan dalam keputusan PMR apabila 1,962 atau 8.95 peratus pelajar berjaya memperolehi semua A tahun ini berbanding 1,746 (7.81 peratus) pada tahun lalu.

Prestasi yang melonjak berbanding tahun lalu dan menghampiri sasaran 10 peratus pelajar mendapat semua A (2011) itu bertambah 1.15 peratus atau 216 pelajar pada tahun ini.