Halaman

16 December 2011

Piala FA - laluan berliku buat skuad Penyu

Oleh FAUZI MOHD

Juara Piala FA musim lalu, Terengganu dapat merasakan laluan yang akan dihadapinya pada saingan tahun depan dalam mempertahankan kedudukannya itu agak berliku dan mencabar.

Namun, jurulatih baru skuad penyu itu, Mat Zan Mat Aris berkata menerusi usaha yang berlipat ganda piala itu dapat dikekalkan terus berada dalam tangan Terengganu.

"Kalau dilihat pada undian semalam memang laluan kita agak sukar," katanya ketika diminta mengulas undian Piala FA 2012 yang diadakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pada undian tersebut Terengganu berkedudukan agak mudah di pusingan pertama tetapi bakal berdepan laluan lebih berliku dan mencabar sekiranya dapat memasuki pusingan kedua.

Terengganu akan bertemu Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada sepak mula 18 Feb sebelum berdepan dengan Perak atau Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di pusingan kedua.

Mat Zan berkata mempertahankan kejuaraan Piala FA adalah sasaran Terengganu di tahun depan sementelah pula pemain yang menjadi watak penting dalam pertandingan akhir Piala FA musim lalu masih berada dalam pasukan tahun ini.

"Ini menambahkan keyakinan dan Terengganu akan membuat persiapan benar-benar mantap di setiap aspek kemampuan dalam memastikan Piala FA tidak berhijrah ke negeri lain tahun depan," katanya.