Halaman

14 December 2011

Perodua tawar diskaun servis kereta terlibat banjir

Oleh FAUZI MOHD

Perodua menawarkan bantuan kepada semua pemilik kereta Perodua yang terjejas akibat banjir di beberapa negeri termasuk Terengganu baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, Pengarah Urusan Perodua Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, bantuan itu termasuk perkhidmatan menunda kereta, diskaun ke atas alat ganti terpilih serta pemeriksaan percuma bagi menentukan jumlah kerosakan ke atas kenderaan masing-masing.

Katanya, syarikat itu menawarkan perkhidmatan menunda percuma sehingga maksimum RM100 ke pusat servis terdekat Perodua.

“Perodua menawarkan 20 peratus diskaun ke atas alat ganti terpilih kepada pemilik Perodua yang kenderaan mereka rosak akibat banjir.

“Alat ganti terbabit termasuk semua barangan elektronik, karpet, tempat duduk kenderaan serta baik pulih gasket enjin,” kata kenyataan itu.

Katanya, pelanggan Perodua yang kenderaan mereka rosak semasa banjir baru-baru ini digalakkan memanggil talian pelanggan bebas tol Perodua di 1800-88-6600 untuk bantuan.