Halaman

28 December 2011

Pelarasan skim SBPA – 4,000 kekosongan jawatan dibekukan

Oleh FAUZI MOHD

Sebanyak 4,000 kekosongan pelbagai jawatan dalam perkhidmatan awam negeri yang masih belum diisi, akan ditawarkan sehingga pelarasan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang bermula tahun depan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah berkata, pembekuan bsementara itu bagi memudahkan perlaksanaan skim SBPA di kalangan penjawat awam negeri selesai.

“Skim baru ini kita belum tahu lagi macam mana kerana Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang memberi penjelasan terperinci mengenainya.

“Sebab itu buat masa ini, JPA belum membenarkan kita mengeluarkan iklan jawatan kosong,” katanya ketika ditemui selepas Program Temu Mesra Setiausaha Kerajaan Negeri bersama kakitangan Kompleks Sri Iman, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Tambah Dato’ Mazlan, sehingga kini sebanyak 8,000 jawatan daripada 12,000 kekosongan telah diisi.

Dalam perkembangan yang sama, beliau memberitahu sebanyak RM28 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi melaksanakan skim SBPA di Terengganu

Katanya, jumlah tersebut membabitkan kenaikan gaji 10 peratus bagi kakitangan awam selain badan berkanun serta pihak berkuasa tempatan.

"Bagaimanapun penjawat awam masih mempunyai pilihan sama ada mahu mengekalkan skim lama ataupun memilih untuk terus berkhidmat di bawah skim baru SBPA.

"Penjawat awam yang berkenaan boleh membuat opsyen dan ini bukan satu paksaan. Mereka ada dua pilihan dan kalau hendak kekal dengan skim lama, maka gaji lama mereka tak akan berubah," jelasnya.