Halaman

06 December 2011

Pejabat Daerah Besut meraikan 170 penerima bantuan rumah PPRT

Oleh: Mohammad Ishak


YB Nawi menyampaikan hamper kepada seorang penerima

BUKAN sahaja mendapat anugerah rumah secara percuma malah pemilik rumah Program Rakyat Termiskin (PPRT) di daerah Besut terus diberi perhatian oleh kerajaan.

Pejabat Daerah Besut (PDB) semalam mengambil inisiatif mengumpul 170 penerima rumah di bawah skim PPRT sejak 2008 untuk diraikan dalam satu majlis khas yang berlangsung di Dewan
Majlis Daerah Besut (MDB), Gong Kemuntong, Jertih.

Penerima terbabit mewakili empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih, Hulu Besut, Kota Putera dan Kuala Besut diberikan hamper berupa bahan makanan untuk keperluan keluarga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Nawi Mohamad, yang mewakili tiga ADUN lain menyampaikan sumbangan hamper berkenaan kepada semua penerima terbabit. Hadir sama ialah Ketua Penolong Pegawai Daerah Besut,Alias Mamat.

Alias berkata, program itu bertujuan meraikan penerima bantuan rumah PPRT selain sebagai tanda ingatan kerajaan terhadap golongan berkenaan.

Seorang penerima, Aziz Abas, 65, dari Kampung La, berkata beliau gembira dengan penghormatan yang diberikan oleh penganjur kerana menjemput semua penerima bantuan dalam majlis itu.

Katanya, beliau yang menerima bantuan rumah baru selepas rumahnya dihanyutkan banjir pada 2009 bersyukur kerana kerajaan sentiasa prihatin terhadap golongan miskin dan mengadakan pelbagai program untuk mambantu rakyat.

“Walaupun diberi hamper berupa makanan tetapi ia amat bermakna kepada golongan miskin malah jemputan ini satu penghormatan kepada kami,” katanya.