Halaman

20 December 2011

Pas perlu bertanggungjawab selesai isu dua solat Jumaat satu kariah

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pemimpin Pas perlu bertanggungjawab melarang pengikut parti itu daripada meneruskan kegiatan mendirikan dua solat Jumaat dalam satu kariah kerana perbuatan itu haram di segi hukum syarak, demi menjaga kesucian Islam.

Mereka perlu akur dengan pandangan ulamak bahawa perbuatan tersebut salah di sisi agama dan sebagai pengikut mahzab Shafie umat Islam dilarang menunaikan solat Jumaat berasingan dalam satu kariah.

Mufti Perak, Tan Sri Harusani Zakaria dalam kenyataannya semalam menegaskan mengikut mazhab Shafie, umat Islam dilarang menunaikan solat Jumaat berasingan dalam satu kariah dan solat yang sah hanyalah solat didirikan di masjid yang diiktiraf dan diperkenan Sultan selaku Ketua Agama Negeri.

Beliau berkata, umat Islam di negara ini tidak boleh mengikut kaedah yang digunapakai di negara Arab yang mengikut mazhab Hanafi kerana tiada istilah surau dalam mazhab tersebut, malah bukan semua masjid boleh mendirikan solat Jumaat.

Di Terengganu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengesan 11 masjid yang tidak diiktiraf kerajaan beroperasi di negeri ini sehingga mendorong berlaku kejadian solat berasingan dalam satu kariah.

Pesuruhjaya JHEAT, Haji Mohd. Rozali Salleh berkata, kebanyakan masjid tersebut terletak di Besut dan Marang.

Bagaimanapun katanya, jumlah masjid tidak diiktiraf kerajaan menurun berbanding 23 buah sebelum ini.

Pada majlis perasmian Masjid Sultan Ismail, Chendering, baru-baru ini Sultan Terengganu sebagai ketua agama melahirkan rasa dukacita kerana masih berlaku kejadian dua solat Jumaat dalam satu kariah di beberapa daerah di Terengganu.

Baginda bertitah, kejadian seumpama itu boleh mencemar serta menodai kesucian agama Islam seterusnya menyebabkan umat Islam dihina dan dipermainkan.

Kegiatan dua solat Jumaat dalam satu kariah berpunca daripada Amanat Haji Hadi yang dikeluarkan Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dalam satu ceramah di Banggol Peradong, hampir 30 tahun lalu.

Bermula dari situ berpuluh-puluh masjid yang tidak diiktiraf dan surau di negeri ini mula menunaikan solat Jumaat walaupun masjid yang diiktiraf kerajaan telah sejak sekian lama diwartakan sebagai tempat umat Islam menunaikan ibadat tersebut.

Selepas perbuatan tersebut ditegur oleh Sultan Terengganu, amat wajarlah pemimpin Pas mengambil peranan membantu kerajaan membanteras kegiatan itu, demi perpaduan umat Islam.

Dalam hal ini, pemimpin Pas tidak boleh membiarkan isu ini berlarutan kerana kepentingan politik parti itu semata-mata, tetapi masalah umat Islam sejagat perlu diberi keutamaan.