Halaman

05 December 2011

MB bentang Bajet 2012 berjumlah RM1.95 bilion untuk kesejahteraan rakyat

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Kerajaan Terengganu menyediakan peruntukan RM1.95 bilion bagi Bajet 2012 yang bertemakan “MERAKYATKAN PENTADBIRAN DAN PEMBANGUNAN: BAJET KESEJAHTERAAN RAKYAT” iaitu pertambahan RM62.07 juta atau 3.29 peratus berbanding bajet tahun lalu.

Daripada jumlah itu, RM112.2 juta akan digunakan bagi membiayai Perbelanjaan Mengurus manakala RM1.838 bilion untuk Perbelanjaan Bekalan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pecahan utama Perbelanjaan Bekalan ialah RM1.416 bilion untuk Pemberian dan Kenaan Tetap, Emolumen RM209.87 juta, RM173.84 juta untuk Perkhidmatan dan Bekalan, RM36.8 juta untuk aset dan RM1.16 juta lain-lain.

“Bajet 2012 dirangka dengan mengambilkira perencanaan Hala Tuju Pembangunan Negeri Terengganu (HPNT) Tahun 2009-2013, Bidang Keberhasilan Utama Negeri, GTP (Government Transformation Programme), ETP (Economic Transformation Programme) dan diselaraskan dengan Rancangan Malaysia Ke-10 melalui pelbagai langkah program serta projek pembangunan yang sedang dilaksanakan bagi memastikan kepentingan dan manfaat secara menyeluruh kepada rakyat dapat dicapai,” katanya ketika membentangkan Bajet 2012 di Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.

Beliau berkata, Bajet 2012 masih lagi memberi keutamaan kepada pelaksanaan program dan projek-projek sambungan supaya ia dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Menteri Besar berkata, Bajet 2012 memberi penekanan kepada tiga strategi utama iaitu memantapkan pembangunan modal insan berkualiti, memelihara kesejahteraan rakyat dan meningkatkan daya saing negeri.