Halaman

28 December 2011

Mara beri pinjaman RM31 juta

Majlis Amanah Rakyat (Mara) negeri Terengganu telah mengeluarkan pinjaman pembiayaan hampir RM31 juta kepada 360 usahawan dan peniaga di negeri ini mulai Januari hingga November tahun ini.

Pengarah Mara Negeri Encik Abdullah Mohamad berkata, dalam tempoh berkenaan pihaknya menyalurkan pinjaman berjumlah RM21 juta disalurkan kepada 225 orang melalui Skim Pembiayaan Islamik Kontrak Ekspres (SPiKE).

Manakala pinjaman sebanyak RM9.892 juta pula diberikan kepada 135 peniaga biasa yang menjalankan pelbagai bentuk perniagaan.

"Kita beri pembiayaan bergantung kepada peniagaan yang mereka jalankan, tetapi ia tidak melebihi RM500,000," katanya semasa merasmikan kedai serbaneka "My Convenience Shop" di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Urusan My Convenience Shop Abdul Karim Mohamad dan Pengurus Malaysia Airport Berhad (MAB) Terengganu, Dr Ahmad Ramli Mahmood.

Encik Abdullah berkata, bagi bayaran balik pinjaman pula, pihaknya berjaya memungut RM15.413 juta sehingga November lalu di mana Mara mensasarkan pungutan bayaran balik sebanyak RM17.8 juta.

"Bayaran balik peminjam Mara di Terengganu tidaklah begitu teruk. Dari segi bayaran balik, kita adalah antara lima negeri terbaik," katanya.

Beliau yakin sehingga akhir Disember ini, pungutan bayaran balik dari peminjam akan meningkat.

Sementara itu, Abdul Karim ketika ditemui pada majlis itu berkata, MyConvenience Shop di lapangan terbang itu adalah cawangan ke-tiga kedainya dan cawangan ke-empat akan dibuka bulan depan di Kuala Berang, Hulu Terengganu.

"Saya sangat berterima kasih kepada Mara kerana memberi sokongan dan bantuan modal bagi meluaskan perniagaan saya," katanya.