Halaman

14 December 2011

Mangsa banjir beransur pulang

Oleh; Esah Abdullah

Gelombang kedua banjir yang melanda dua daerah iaitu Kemaman dan Besut di negeri ini sejak tiga hari lalu mula surut dan mereka yang berada di pusat perpindahan sudah beransur pulang ke rumah masing-masing.

Menurut kenyataan bilik operasi banjir negeri, sehingga pukul 9.20 pagi ini terdapat hanya 73 orang daripada 14 keluraga masih berada didua pusat perpindahan iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga (27 orang) dan balai raya Padang Kemunting, Kemaman (46 orang).

Katanya, jumlah ini berkurang berbanding semalam 123 mangsa daripada 26 keluarga yang membabitkan dua pusat perpindahan di daerah Kemaman dan ini tidak termasuk mangsa yang berpindah ke rumah keluarga.

Sementara itu di Besut, seramai 169 mangsa daripada 41 keluarga telah dibenarkan pulang kira-kira jam 10 pagi semalam selepas pihak berkuasa berpuas hati dengan keadaan cuaca yang sudah pulih dan kembali normal.

Katanya, peristiwa ombak besar yang memecah benteng dan air pasang memasuki rumah penduduk di penempatan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Pengkalan Atap,Kuala Besut, malam kelmarin masih menghantui fikiran mereka namun penghuni terbabit dibenarkan pulang selepas dua malam berada di pusat pemindahan.

Penduduk yang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing perlu berjaga-jaga kerana bimbang kejadian sama akan berulang semula dalam tempoh terdekat.