Halaman

31 December 2011

Lima peninju jalani latihan di Thailand

Oleh: Aida Abd Rahman

Persatuan Tinju Amatur Terengganu (PTAT) akan menghantar lima atletnya bagi mengikuti latihan di Sekolah Sukan Tran, Thailand, Mac depan sebagai persediaan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) 2012 di Pahang.
Setiausaha PTAT, Encik Razali Mamat berkata, atlet terlibat adalah Mohd Hafizuddin Hakim bagi Kategori 46kg, Mohd Hishamuddin Alias (49kg), Mohd Suhaimi Yacob (56kg), Mohd Shahrulnizam Che Nik (52kg) dan Nik Mohd Iqbal Shafi (64kg).

“Semua atlet terbabit akan mengikuti latihan selama dua minggu. Kita pilih Sekolah Sukan Tran untuk menjadi rakan pelatih kepada atlet-atlet tinju kita kerana sekolah sukan itu mempunyai ramai petinju-petinju berwibawa,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan petinju terbabit baru saja selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kini mengikuti latihan intensif termasuk menjalani latihan pernafasan di kawasan sejuk di Cameron Highlands.

Untuk Sukma tahun depan, Encik Razali berkata PTAT akan menghantar tujuh atlet selain dua yang sedang dikenal pasti untuk kategori 75kg dan 81kg.