Halaman

31 December 2011

JPS tambak pantai elak hakisan

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu sedang giat menjalankan kerja-kerja penambakan di kawasan pantai peranginan Teluk Lipat, Dungun bagi mengurangkan hakisan.

Pengarahnya, Mat Hussin Ghani berkata kerja menambak itu akan dilakukan secara berterusan sehingga Februari depan.

Beliau berkata, penambakan itu adalah langkah segera bagi menangani masalah hakisan memandangkan kerja membina tembok kekal bukan saja mengambil masa tetapi juga melibatkan kos yang tinggi.

Katanya JPS memerlukan kira-kira RM30 juta bagi membina tembok kekal dan setakat ini telah membelanjakan RM2 juta bagi membina tembok bongkah batu.

Beliau berkata kerajaan negeri juga telah memohon peruntukan daripada kerajaan pusat kira-kira RM15 juta bagi kerja menambak Pantai Teluk Lipat dan RM10 juta untuk Pantai Tok Jembal.

Kerja penambakan turut dijalankan di Pantai Tok Jembal, Kuala Terengganu bagi mengurangkan hakisan yang sebelum ini telah memusnahkan puluhan pokok rhu dan chalet murah yang terdapat di sepanjang pantai tersebut.