Halaman

27 December 2011

JPM mahu Maidam tangani isu solat dua Jumaat

Oleh; Esah Abdullah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyerahkan keputusan kepada Kerajaan Negeri dalam usaha menangani isu dua solat Jumaat dalam satu kariah yang masih berlaku negeri ini.

Menurutnya, dalam Perkara Sembilan Perlembangaan Negara, agama Islam terletak di bawah hak kerajaan negeri dan Tuanku Sultan di mana dalam perkara ini Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan perkara terbabit.

Katanya, jika perkara ini gagal diselesaikan dengan segera, nescaya ia mengundang pandangan negatif masyarakat bukan Islam.

"Sudah pasti masyarakat di luar sana memandang kehairanan mengapa umat Islam tidak boleh bersatu tambahan pula dalam kontek institusi masjid.

“Jadi yang rugi adalah umat Islam dan saya melihat kalau semua pihak boleh berlapang dada dan bermuafakat sudah pastinya masalah ini tidak timbul," katanya di sidang akhbar selepas hadir pada majlis perasmian Karnival Hijrah di Dataran Shahbandar Kuala Terengganu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung isu dua solat Jumaat dalam satu kariah di negeri ini yang turut melahirkan rasa dukacita Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Dalam pada itu, Dato’ Seri Jamil berkata, beliau berharap semua pihak dapat menyerahkan segala urusan bagi menyelesaikan perkara berkenaan kepada Maidam selaku institusi agama tertinggi negeri .

"Semua urusan dan kuasa diberikan kepada Maidam dan saya yakin Maidam pasti ada jalan terbaik untuk menyelesaikan perkara itu dengan segera," katanya.

Sebelum ini Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Haji Mohd Rozali Salleh mengesahkan terdapat 11 masjid yang tidak diiiktiraf oleh institusi agama sehingga menyebabkan berlakunya senario dua jemaah bersembahyang secara berasingan di dalam satu-satu kariah atau kawasan di negeri ini.

Menurutnya, JHEAT telah melakukan permantauan dan akan menghantar laporan lengkap berhubung perkara itu kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) untuk tindakan selanjutnya.