Halaman

30 December 2011

Hati-hati dengan motivasi ‘beracun’

Oleh; Esah Abdullah

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman mengingatkan ibu bapa tidak menerima bulat-bulat ‘motivasi’ yang mendakwa pendidikan sekular tidak perlu diutamakan.

“Saya mendapat tahu ada gerakan dari pihak pembangkang yang mengunjungi rumah pelajar cemerlang (UPSR dan PMR) mengucapkan tahniah sambil mengingatkan itu hanya kejayaan di dunia sahaja,” katanya di majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar UPSR dan PMR DUN Seberang Takir di Dewan Sivik Seberang Takir semalam.

Tambahnya, pihak berkenaan itu sanggup meminta keluarga dan pelajar terbabit memberi tumpuan lebih untuk bekalan di akhirat kerana itu lebih penting dari segalanya.

“Kita tidak nafikan bekalan akhirat penting tetapi bimbang motivasi yang diberikan itu menjadi racun kepada pelajar dan juga ibu bapa untuk tidak memajukan diri pada masa akan datang,” katanya.

Katanya, kerajaan tidak pernah serik untuk terus membantu rakyat yang berhadapan dengan apa juga masalah walaupun secara terang terangan mereka seolah tidak berterima kasih.

“Selaku kerajaan yang bertanggung jawab, akan tetap menyumbangkan pelbagai dana bagi memastikan semua lapisan rakyat menikmati kehidupan yang selesa,” katanya.