Halaman

07 December 2011

Golongan petani wajar diberi kursus

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri sewajarnya memandang serius kepakaran golongan petani di negeri, dengan mewujudkan pelbagai kursus di bidang berkenaan agar mereka lebih bermotivasi dan mampu bersaing setanding petani berjaya di negeri lain.

YB Ramlan Ali (BN-Jabi) memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, langkah itu perlu diadakan segera supaya golongan itu tidak lagi mempunyai sikap sambil sebaliknya lebih serius mengusahakan bidang tersebut.

Katanya, kebanyakan petani keluar rumah seawal jam 7 pagi, kemudian singgah minum di warung kopi berjam lamanya, jam 9 pagi barulah masing-masing ingin ke sawah.

“Pulang ke rumah sebelum menjelang tengahari, pada waktu petang lewat juga turun ke sawah, apabila itu berlaku berapa jam sangat mereka berada di sawah,” katanya.

Katanya, sikap itu cukup berbeza dengan golongan petani yang menyertai Program Jelapang Padi di Sekinchan, Selangor, mereka lebih berdisplin, turun ke sawah dalam tempoh panjang atau seumpama waktu pejabat.

“Sehubungan itu, sudahlah tiba masanya untuk kita memandang serius perkara ini dengan menganjurkan kursus supaya golongan itu lebih bermotivasi dan berdisplin.

“Bajet yang diperuntukan kerajaan negeri RM27.3 juta untuk sambungan projek Jelapang Padi, Pembangunan Ladang Kelapa Sawit, Projek Tanaman Kelapa dan projek kecil berkelompok amat bertepatan sekali kerana boleh menjana pendapatan rakyat,” katanya.

Menurutnya, dia turut meminta jasa baik kerajaan negeri supaya mengkaji balik syarat pinjaman yang dikeluarkan Yayasan Terengganu (YT) kerana ia dikatakan terlalu longgar.

“Peminjam itu hanya lahir di Terengganu, membesar bersama keluarga di luar Terengganu dan dikenalpasti tidak mengundi di negeri ini, tetap boleh membuat pinjaman.

“Kes seumpama ini wajar dikaji semula kerana sudah tentu ia tidak mendatangkan apa-apa hasil kepada negeri,” katanya.