Halaman

30 December 2011

Geran RM10,000 untuk semua 491 koperasi masjid

Oleh FAUZI MOHD

Menerusi konsep 1Kampung 1Koperasi, Kerajaan Terengganu menyasarkan untuk menubuhkan koperasi di semua 491 masjid di negeri itu dalam tempoh lima tahun.

Pengerusi Jawatankausa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato' Mohamed Awang Tera berkata, dianggarkan 100 buah masjid di negeri itu akan menubuhkan koperasi masing-masing setiap tahun.

"Setiap masjid yang menubuhkan koperasi, kerajaan akan bagi geran sebagai bantuan sebanyak RM10,000. Dengan bantuan itu koperasi berkenaan bolehlah bergerak untuk buat bayaran pengurusan, beli peralatan, pejabat dan sebagainya.

"Malah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sendiri menyediakan pinjaman kepada koperasi sehingga RM10 juta untuk dijadikan modal jika ia ada projek yang hendak dijalankan," katanya.

Beliau bekata demikian pada bengkel penubuhan Koperasi Khairiah Masjid daerah Kuala Terengganu semalam yang melibatkan 150 ahli jawatankausa masjid daerah itu.

Tambah Dato' Mohamed, kerajaan melihat masjid merupakan institusi yang berpotensi untuk mewujudkan koperasi bagi meningkatkan ekonomi di sesuatu kariah.

Katanya, dengan adanya koperasi di setiap masjid, ia boleh menyediakan bahan-bahan yang diperlukan oleh kariah di kawasan berkenaan.

Beliau menjelaskan, modal untuk menggerakkan koperasi datangnya dari sumbangan ahli.

"Kita tidak ambil duit masjid untuk dijadikan modal. Modal kita adalah sumbangan daripada ahli keperasi itu sendiri," katanya.

Bengkel yang diadakan itu merupakan yang terakhir daripada tujuh siri penerangan yang diadakan di seluruh negeri tahun ini yang bertujuan memberi penjelasan kepada ahli jawatankuasa masjid mengenai penubuhan koperasi.