Halaman

29 December 2011

Durian di PBKP laris

Oleh: Suriati Ali

TERIAKAN `mari beli durian’ oleh peniaga durian di Pasar Besar Kedai Payang (PBKP), Kuala Terengganu nyata menarik minat pengunjung dan pengguna jalan raya di kawasan itu untuk membeli `raja buah’ itu.

Lebih 10 peniaga tempatan setia mempromosi pelbagai jenis durian yang dijual antara RM4 hingga RM20 walaupun terpaksa menahan kesejukan ketika hari hujan.

Seorang peniaga, Mohd Ramli Bidin, 38, berkata durian yang dibeli dari Perak dan Pahang itu mendapat sambutan cukup menggalakkan berikutan buah itu kini sukar didapati di Terengganu.

Katanya, pada musim sekarang, durian di negeri ini tak berbuah, sebab itu kami terpaksa mendapatkan durian dari luar Terengganu untuk dijual.

“Pelbagai kaedah digunakan peniaga, termasuk menjualnya secara longgok iaitu RM20 bagi lima hingga tujuh biji durian.

“Ada juga di antara kami mengisikan ulas buah durian ke dalam bekas semata-mata ingin menarik minat pembeli. Kaedah itu lebih laris berbanding menjualnya secara timbang,” katanya ketika ditemui di PBKP.

Peniaga dari Setiu, Salleh Idris 40, berkata hampir setiap hari, dia bersama dua pembantu akan mula berniaga seawal jam 8.00 pagi dan hanya akan pulang apabila menjelang tengah malam.

“Harga durian yang dijual bergantung kepada jenis durian, buah yang mahal adalah durian kunyit iaitu RM20 bagi sekilogram.

“Kebanyakan penggemar durian tidak kisah mengenai harganya asalkan rasa dan kualitinya memang bagus dan enak,” katanya.