Halaman

26 December 2011

Calon khas nikmati peluang sama rata

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) memberi peluang yang sama kepada Calon Berkeperluan Khas (CBK) untuk menikmati sesi pembelajaran dan peperiksaan sepertimana calon normal yang lain.

Malah, golongan itu juga mendapat pengiktirafan dengan adanya kemudahan pentaksiran yang disediakan jabatan pelajaran bagi memenuhi keperluan mereka yang serba kekurangan.

Pada tahun ini, seramai 103 CBK menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di 31 pusat peperiksaan di seluruh Terengganu.

“Daripada jumlah calon yang dinyatakan, terdapat seorang calon mendapat semua A(9A), seorang mendapat 4A 2B 2C dan seorang mendapat 7A 1B,” kata Timbalan Pengarah JPNT, Encik Hashim Mohd Zin, ketika mengumumkan peperiksaan itu di JPNT, baru-baru ini.

Calon berkenaan, Muhammad Danial Zainuddin dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek mengalami autisme (9A);, Mohamad Aliff Rozahilmie Md Rasid SMK Binjai , Kemaman cacat anggota (7A 1B) dan Mohamad Fazri Hafizi Mohd SMK Bukit Besar, Kuala Terengganu mengalami rabun dan memperolehi 4A 2B 2C.

Katanya, pada masa kini, kemudahan disediakan seperti kertas soalan Braille untuk calon cacat penglihatan, kertas soalan moderasi untuk calon cacat pendengaran dan kertas soalan cetakan besar untuk calon rabun.

“Kekurangan yang ada juga menyebabkan mereka diberikan masa lebih lama bagi menjawab soalan peperiksaan berbanding calon normal,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Terengganu meneruskan legasi kecemerlangan dalam keputusan PMR apabila 1,962 atau 8.95 peratus pelajar berjaya memperolehi semua A tahun ini berbanding 1,746 (7.81 peratus) pada tahun lalu.

Prestasi yang melonjak berbanding tahun lalu dan menghampiri sasaran 10 peratus pelajar mendapat semua A (2011) itu bertambah 1.15 peratus atau 216 pelajar pada tahun ini.