Halaman

20 December 2011

Bina 6,757 rumah dalam tempoh tiga tahun

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri membina 6,757 unit rumah awam kos rendah dan mampu milik dalam tempoh tiga tahun membabitkan kos hampir RM700 juta tanpa melibatkan pinjaman daripada Kerajaan Pusat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri melalui Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) giat melaksanakan projek perumahan bagi memastikan sasaran sebanyak 10,000 unit rumah bagi tempoh lima tahun (2008-2013) di seluruh Terengganu.

“Pada masa yang sama, kerajaan negeri juga sedang menyusun semula Bandar Kuala Terengganu. Kita tahu nilai tanah di Bandar Kuala Terengganu mahal yang menyebabkan kita terpaksa mengambil balik tanah ini dengan harga yang tinggi.

“Kita mahu memastikan geopolitik masyarakat Melayu dapat dikekalkan dalam bandar. Contohnya, apabila kita mengambil balik 15 ekar tanah di Ladang Tok Pelam yang harga mengambil balik tanah melibatkan RM80 juta. Seterusnya kita akan tempatkan penduduk terlibat dalam satu penempatan yang sama iaitu di Ladang Gemilang (Pangsapuri),” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam PMINT, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail dan Pengurus Besar PMINT, Dato’ Osman Muda.

Dalam perkembangan yang sama, Menteri Besar turut memuji langkah pengurusan PMINT yang melakukan transformasi baru dengan hanya memberi tumpuan kepada bidang pelaburan tertentu yang berdaya saing dan mampu menjana keuntungan kepada perbadanan itu.

“Tiada makna kita mempunyai anak syarikat yang banyak tetapi menjejaskan prestasi kita.Walaupun antara perbadanan terawal yang dibangunan di negara kita, banyak perkara PMINT ketinggalan dan dulu banyak bidang yang diceburi sehinggakan perkara yang tiada kepakaran pun mahu niaga menyebabkan kita terpaksa gulung tikar.

“Kita mahu melihat PMINT berdaya saing dan mengorak langkah bagi menentukan hala tuju barunya sebagai agensi terbesar kerajaan yang terlibat dalam pembangunan ekonomi serta fizikal negeri selain mampu menambah lebih ramai kakitangan,” katanya.

Beliau sebelum itu turut berbangga dengan kejayaan PMINT yang memperolehi penarafan empat bintang daripada Jabatan Audit Negara baru-baru ini.