Halaman

17 December 2011

Bantuan RM500 ringan bebanan mangsa banjir

Oleh: Aida Abd Rahman dan Mastura Jamaldin

Kesulitan yang dihadapi 165 mangsa banjir dari tiga Dewan Undangan Negeri di Parlimen Hulu Terengganu sedikit terubat apabila menerima sumbangan wang tunai RM500 bagi setiap keluarga, baru-baru ini.

Kesemua mangsa dari Kuala Berang, Ajil dan Telemong menerima bantuan yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Berang, YB Haji Mohd Zawawi Ismail, di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu.
“Kita sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan negeri yang begitu peka permasalahan rakyat lebih-lebih lagi terhadap mangsa banjir.

“Bantuan RM500 yang diberikan ini,kita berharap ianya dapat meringankan beban dan perasaan dukacita mangsa banjir terhadap musibah yang berlaku.Terima kasih juga diucapkan kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung serta ketua cawangan yang sentiasa menjaga kebajikan penduduk demi meringankan permasalahan mereka,”kata YB Haji Mohd Zawawi ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Ehsan Kepada Mangsa Banjir 2011 Daerah Hulu Terengganu.

Turut hadir, wakil Pegawai Daerah Hulu Terengganu, wakil Majlis Keselamatan Negara,pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jurutera Daerah Hulu Terengganu, ketua-ketua jabatan serta penerima-penerima bantuan.

Katanya, kerajaan senetiasa memikir dan merancang sesuatu yang terbaik untuk rakyat. Malah, sebagai pemimpin dan Adun Kuala Berang contohnya, beliau turut berusaha mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah banjir di kawasan beliau.

“Saya bersyukur kerana satu takungan banjir yang melibatkan kos RM5 juta akan dibina untuk mengatasi masalah ini menerusi peruntukan yang disediakan kerajaan untuk kepentingan rakyat,”katanya lagi.