Halaman

21 December 2011

Ashaari, 7 pemimpin, 5 pertubuhan terima Anugerah Belia Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Penyerang skuad Penyu, Ashaari Shamsuddin merangkul Anugerah Belia Negara peringkat negeri bagi kategori Daya Juang Malaysia Boleh malam tadi.



Anak jati Bukit Payong, Marang itu yang membawa Skuad Penyu juara Piala FA, naib juara Liga Super dan Liga Malaysia memperolehi wang tunai RM3,000 dan piala iringan yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB. Rozi Mamat.

Ashaari ketika ditemui berkata, pengiktirafan itu memberi tiupan semangat kepadanya membawa nama ‘Belia Terengganu’ mengukir kejayaan bukan sahaja di peringkat negeri malah ke tahap yang lebih tinggi.

“Kejayaan ini bukan untuk saya seorang malah untuk dikongsi semua anak Terengganu yang berjuang dalam arena bola sepak negara kerana Bola Sepak telah menaikkan imej negeri,” katanya yang pernah dinobatkan Pemegang Kasut Emas tahun 2010.

Anugerah sejak tahun 1988 itu bertujuan untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan di atas pencapaian belia dalam pelbagai bidang serta menggalakkan penyertaan golongan itu dalam kerja sukarela dan kemasyarakatan.

Turut hadir pada majlis di Primula Hotel, Kuala Terengganu Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT), Mat Yusof Mat Ali.



Kategori Tokoh Belia Lelaki dan Wanita masing-masing dianugerahkan kepada Mat Yusof dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Chalok, Setiu, Che Dayang Che Sulaiman yang membawa pulang wang tunai RM3,000 dan piala iringan setiap seorang.



Sementara itu, Pembantu Unit Komunikasi, Amirullah Othman meraih Kategori Aktivis Sosial, Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Terengganu, Mohd Fauzi Mat Adam (Kategori Kepimpinan) dan wakil Malaysia ke Pertandingan World Skills ke-35 di Montreal, Suramzi Muda (Kategori Inovasi dan Kreativiti).

Turut mendapat pengiktirafan, pengusaha cendawan syarikat Fatisha Agro, Rusila Yusof (Kategori Usahawan Agro) dan pemilik Bie Beuty Salon, Robiah Mohamad (Kategori Usahawan).

Semua pemenang membawa pulang wang tunai RM3,000 dan piala iringan yang disampaikan Rozi.

Bagi Anugerah Perdana Pertubuhan Belia Peringkat Daerah, Persatuan Belia Fajar Meyinsing dipilih untuk Daerah Kuala Terengganu, Persatuan Belia Setia Pakat (Marang), Persatuan Belia Felda Kertih Satu (Dungun) dan Persatuan Belia Seri Kertih (Kemaman).

Empat persatuan itu menerima piala iringan dan wang tunai RM10,000.

Bagi peringkat negeri, Persatuan Belia MBFM Felda Bukit Bading, Hulu Terengganu meraih Anugerah Perdana Pertubuhan Belia Peringkat Negeri dan layak menerima wang tunai RM10,000 serta piala iringan.



Pada majlis itu, Rozi turut melancarkan ‘Utusan Belia’ yang diterbitkan MBNT sebagai medium kominikasi antara pemimpin dan kira-kira 35,000 ahli serta lebih 540 persatuan belia di Terengganu.