Halaman

30 December 2011

150 serbu program ‘Jom Gunting Rambut’

Oleh FAUZI MOHD

Kira-kira 150 murid sanggup menunggu seawal pukul 8 pagi di perkarangan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, di sini untuk untuk mendapatkan khidmat gunting rambut percuma.



Program itu diadakan sebagai persiapan sesi persekolahan 2012 akan bermula tidak lama lagi yang mana menjelang hari tersebut salah satu persediaan utama bakal pelajar adalah menggunting rambut masing-masing agar kemas sebelum ke sekolah.

ADUN Seberang Takir, YB. Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, program sehari itu bertujuan memberi khidmat gunting rambut kepada mereka terutama yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan bagi mendapat hasil guntingan rambut yang kemas dan rapi secara percuma.

"Dengan kerjasama 16 tukang gunting rambut tempatan, program rutin setiap tahun ini mahu mengurangkan beban yang ditanggung oleh ibu bapa menjelang sesi persekolahan yang bakal bermula sehari dua lagi.

"Kos menggunting rambut seorang pelajar sahaja antara RM5 hingga RM8. Walaupun sumbangan ini tidak besar ia dapat menampung sedikit sebanyak kos persediaan persekolahan ibu bapa yang mempunyai ramai anak," katanya ketika ditemui pada program itu.

Pada kesempatan itu, Ahmad Razif turut bersama Kelab Rukun Tetangga (KRT) Kampung Baru Seberang Takir yang bergotong-royong menyiapkan empat kawah bubur syura untuk diagihkan kepada orang ramai.

Sejurus selepas itu, beliau menyampaikan bantuan musim tenkujuh kepada 300 nelayan dan 24 pengusaha bot di DUN berkenaan dalam majlis berasingan di Dewan Sivik Seberang Takir, di sini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri memberitahu, bantuan wang tunai RM100 dan hamper makanan diberikan kepada setiap penerima dengan kos keseluruhan hampir RM70,000.

“Bantuan itu tepat pada waktunya kerana kebanyakan nelayan tidak mempunyai pendapatan pada musim tengkujuh berikutan tidak dapat ke laut kerana ombak besar. Tambahan pula, sesi persekolahan baru akan dibuka dan keperluan anak-anak bersekolah perlu disediakan.

“Pemberian pelbagai bantuan kepada golongan nelayan itu merupakan inisiatif kerajaan bagi menjaga kebajikan keluarga nelayan khususnya pada musim tenkujuh di mana pendapatan golongan itu terjejas,” ujarnya.