Halaman

01 November 2011

Timbang kuota 20 peratus untuk golongan muda

Oleh FAUZI MOHD

KERAJAAN
Terengganu diharap dapat mempertimbangkan pemberian kuota 20 peratus kepada golongan muda untuk membeli rumah di bawah program Rumah Mampu Milik (RMM) yang dilaksanakan kerajaan negeri.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu, Saiful Bahri Baharuddin ketika mencadangkan demikian berkata, perkara itu perlu sebagai satu inisiatif kerajaan negeri kepada golongan berkenaan di negeri ini yang rata-rata masih tidak mempunyai rumah sendiri.

Menurut beliau, kajian pihaknya mendapati ketiadaan kuota berkenaan akan menyulitkan mereka mempunyai rumah kerana terikat dengan pertimbangan lain semasa proses permohonan dikemukakan.

“Selalunya, orang yang mempunyai keluarga besar atau seumpamanya diberikan keutamaan sedangkan masih ramai anak muda kita yang belum mempunyai rumah dan nasib mereka wajar dibela.

“Oleh sebab itu, saya cadangkan agar kuota 20 peratus ini dipertimbangkan kerajaan negeri bagi membolehkan golongan berkenaan lebih mudah memiliki rumah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Untuk rekod, sebanyak 6,737 unit rumah RMM sedang dibina di seluruh Terengganu, melibatkan 23 projek pembinaan.

Kerajaan negeri dalam cadangannya akan membina 12,639 unit rumah RMM di seluruh negeri dengan ketua isi rumah yang berpendapatan tidak melebihi RM2,500 sebulan layak memohon.

Saiful Bahri yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Marang menjelaskan, beliau telah menerima banyak aduan daripada golongan muda yang menyatakan bahawa mereka terlalu sukar untuk mendapat kemudahan membeli rumah berkenaan.

“Masalahnya, mereka terpaksa bersaing dan sebab itulah saya katakan bahawa perlunya kuota bagi mereka,” katanya.

Serentak dengan itu juga katanya, kerajaan negeri harus mempertimbangkan untuk menaikan syarat layak memohon daripada pendapatan ketua keluarga bawah RM2,500 sebulan kepada RM3,000 sebulan.

Perkara itu dianggap wajar berikutan pendapatan pekerja di negeri ini juga semakin meningkat melalui insentif kerajaan yang mengumumkan kenaikan gaji dan bonus selain gaji sektor swasta pula berada pada tahap memuaskan.

Katanya, beliau telah pun mengemukakan cadangan tersebut kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said beberapa hari lalu dan telah mendapat reaksi positif daripada beliau.

Dalam pada itu, beliau juga mengharapkan kerajaan negeri melobi dengan Kerajaan Persekutuan agar mereka membina Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA) yang memberi fokus kepada golongan berpendapatan sederhana.

“Terengganu masih mempunyai tanah yang strategik untuk dimajukan dengan projek PRIMA ini dan berikutan masih ramai rakyat yang tidak memiliki rumah sendiri, maka ia wajar juga diperluaskan ke negeri ini.

“Saya percaya bahawa rakyat Terengganu dari golongan berkenaan sangat ternanti-nantikan projek tersebut,” ujarnya.

Projek PRIMA dilancarkan Perdana Menteri pertengahan tahun ini sebagai satu inisiatif kepada golongan berkenaan untuk memiliki rumah sendiri.