Halaman

22 November 2011

Sekolah Terengganu sumbang RM80,513 untuk Palestin

Oleh FAUZI MOHD

Kempen Ramadan Untuk Palestin yang digerakkan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) di sekolah-sekolah seluruh negeri sepanjang Ogos lalu berjaya mengumpul RM80,513.

Pengarahnya, Razali Daud berkata, sumbangan terbesar diterima dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Terengganu iaitu sebanyak RM24,046 diikuti Kemaman sebanyak RM13,035.

Manakala Besut berjumlah RM10,625, Marang (RM10,055), Dungun (RM9,846), Hulu Terengganu (RM7,778) dan Setiu (RM5,126).

“Sumbangan ini diterima daripada pelajar menerusi tabung yang dibekalkan ke setiap sekolah menengah dan rendah.

“Dengan adanya sumbangan ini, ia diharap dapat menampung peruntukan sebanyak RM511,000 yang diperlukan oleh Aman Palestin bagi diserahkan kepada rakyat Palestin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis ringkas bagi menyerahkan cek sumbangan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut baru-baru ini.

Razali memberitahu, selain pungutan derma, pihak Aman Palestin juga dibenarkan mengadakan ceramah dan tayangan video berkaitan isu-isu Palestin di empat sekolah di negeri ini.