Halaman

20 November 2011

PHM dedah kepentingan pengguna dan pengusaha

Oleh; Esah Abdullah

Sebanyak sembilan kertas kerja mengisi slot Program Halal Malaysia (PHM) yang berlangsung di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) selama dua hari bermula hari ini.

Program bertujuan mendedahkan kepentingan dan keperluan halal serta memaksimunkan standard halal pihak pengguna, pengeluar, usahawan dan masyarakat dianjurkan oleh Jabatan Standard Malaysia (JSM) dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu.

Ketua Pengarah JSM, Puan Fadilah Baharin, menyatakan program ini merupakan salah
satu inisiatif pembaharuan strategik di bawah program tranformasi ekonomi bagi memastikan perniagaan mematuhi standard antarabangsa dalam memudahkan hubungan ke rantaian penawaran dunia.

“Ia memberi manfaat kepada semua pihak bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan berkenaan aplikasi standard halal sedia ada dan akan datang di samping meningkatkan integriti produk halal di persada antarabangsa.

Antaranya kertas kerja ‘Perbankan Islam Solusi Kewangan Industri Halal’ oleh Pengurus Besar Am Islamic Bank, Datuk Zainal Abidin Mohamed dan ‘Keberkatan Bisnes Dengan Berzakat Dan Berwakaf’ oleh Penolong Pengarah Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ), Ustaz Mustapayyudin Abdul Halim.

Pengarah Urusan QSR Brand Berhad/KFC Holding, Haji Jamaludin Md. Ali turut memberi tips mengenai peluang bisnes bersama KFC/ Ayamas dan Pensijilan Halal; Prosedur dan Isu Terkini oleh Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Ustaz Kamarul Nizal Idris.

Seramai 150 peserta dari kalangan pengguna, pengusaha, usahawan dan wakil jabatan kerajaan, badan berkanun dan swasta menyertai program yang julung kali diadakan di negeri ini.