Halaman

11 November 2011

Pelatih Pemulihan Dalam Komuniti (PDK ) tunjuk bakat menyanyi

Oleh: Mohammad Ishak


Persembahan nyanyian oleh pelatih PDK Jertih


Bakat seni bukan sahaja dimiliki oleh orang biasa sahaja malah mereka yang kurang bernasib baik juga mampu menunjukkan kebolehan dalam pelbagai bidang seni termasuk nasyid dan nyanyian.

Begitulah yang sempat ditunjukkan oleh pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Jertih, ketika mereka mempersembahkan nyanyian berkumpulan sempena majlis Hari Terbuka dan perasmian bangunan PDK baru berkenaan.

Sekumpulan kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU) dari kelas berkenaan berjaya mencuit hati tetamu jemputan apabila muncul di pentas dan menyanyikan pelbagai rentak lagi untuk hiburan tetamu yang hadir.

Malah, kehadiran Pengarah Jabatan Kebaikan Masyarakat (JKM) Terengganu,Zuhaimi Omar, turut menarik perhatian dan dengan penuh minat mendengar nyanyian kanak-kanak berkenaan.

Golongan berkenaan sememangnya gemar kepada seni dan muzik dan tidak hairanlah mereka tidak segan dan malu untuk tanpil mengadakan persembahan setiap kali diadakan program oleh pihak tertentu.

Kumpulan pelatih PDK Jertih selain diberi latihan dalam bidang kemahiran mereka juga diajar mengenai pelbagai aspek kehidupan lain supaya dapat bergaul mesra dengan masyarakat selepas berada dalam komuniti.

Penyelia PDK Jertih, Salina Mat Ali berkata, guru PDK sentiasa memberi penekanan terhadap keupayaan golongan OKU yang mengikuti di kelas berkenaan bagi mempastikan mereka dapat hidup sama seperti orang biasa malah ada dikalangan mereka mempunyai kemahiran lebih baik dibandingkan orang biasa.