Halaman

16 November 2011

MBKT laksana Program Pemutihan Bangunan

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) meminta semua pemilik premis perniagaan yang beroperasi di Jalan Kuala Berang dan Jalan Kelantan supaya mengemukakan permohonan menduduki bagi mengelakkan timbul masalah kemudian hari.

Datuk Bandar MBKT, Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang berkata, pihaknya sedang melaksanakan Program Pemutihan Bangunan (PPB) mulai November tahun lalu untuk memberi peluang masyarakat di kawasan terbabit membuat urusan dengan MBKT.

Katanya,kawasan berkenaan terbabit dengan pembesaran jalan dan terdapat 952 premis perniagaan di dua laluan berkenaan.

“Sebarang usaha mengubahsuai premis perlu mendapat kelulusan menduduki semula daripada MBKT dan pemilik premis perlu mengambil peluang bila kita wujudkan PPB semata-mata untuk memudahkan mereka membuat urusan,” katanya.

Menurut Dato’ Haji Adzlan, terdapat 952 premis perniagaan pelbagai berada di sepanjang jalan berkenaan dan 541 buah terletak di Jalan Kuala Berang manakala selebihnya di Jalan Kelantan.

Katanya, daripada jumlah berkenaan hanya 154 premis di Jalan Kuala Berang dan 111 Jalan Kelantan atau 30 peratus menyertai pematuhan pemutihan manakala 70 peratus lagi gagal berbuat demikian.

Sehubungan itu MBKT telah melantik empat panel pelukis pelan dan empat panel arkitek bagi membantu kelancaran proses permohonan.

Katanya, kadar dikenakan mengikut meter persegi iaitu RM0.65 kaki persegi dan caj minima perkhidmatan sebanyak RM500 beserta pelan bercetak yang ditandatangani atas kertas bersaiz A3.