Halaman

20 November 2011

Maidam terima zakat RM267,377 daripada dua anak syarikat Risda

Oleh FAUZI MOHD

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menerima zakat perniagaan berjumlah RM267,377.52 daripada dua anak syarikat Risda, Espek Sdn. Bhd. dan Espek Livestock Sdn. Bhd. hari ini.

Pengurus Besar Espek, Datuk Kamaruddin Mohamed Shah berkata, daripada jumlah itu, RM206,234.81 zakat dikeluarkan daripada hasil keuntungan bagi tahun kewangan 2008 dan 2009 yang dijana syarikat itu.

Katanya, bakinya RM61,142.71 adalah zakat hasil daripada keuntungan Espek Livestock.

Beliau mengumumkan perkara itu selepas menyampaikan wang zakat berkenaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Maidan, Wan Harujan Sulaiman di Hulu Terengganu.

Tambah Datuk Kamaruddin, Espek menguruskan ladang-ladang Risda seluas 47,000 hektar di Semenanjung dan daripada jumlah itu 17,000 hektar di Terengganu.

Katanya, zakat Espek Livestock pula adalah hasil keuntungan daripada kira-kira 9,000 ekor lembu yang diternak di ladang-ladang di Terengganu.