Halaman

28 November 2011

JKST amal Sistem Inqusetorial

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKST) merupakan satu-satunya negeri yang mengamalkan sistem ‘Inqusetorial’ semasa penghakiman dijalankan di dalam mahkamah di mana nota bicara dapat diperolehi dalam masa satu jam.

Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, sebelum ini nota bicara penghakiman mengambil masa enam minggu untuk disiapkan.

“JKST juga menyediakan TV Interaktif bagi kemudahan masyarakat mendapatkan maklumat terkini bagi status sesuatu kes,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi dan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JKST di bangunan Mahkamah Syariah, Kuala Terengganu hari ini.



Hadir sama, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Dato’ Haji Ismail Yahya dan Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abdin (UniSZA) dan Haji Abdul Halim Awang selaku penceramah jemputan.

Katanya, sehingga ini terdapat 11 buah TV Interaktif dipasang di beberapa lokasi di JKST bagi memudahkan orang ramai berurusan dengan Mahkamah Syariah seperti menyemak tarikh terkini kes serta memperolehi penerangan tanpa bertemu pegawai terbabit.

Menurut Dato’ Haji Mazlan, JKST juga menyediakan kaunter polis sebagai langkah menjamin keselamatan di mahkamah di samping melaksanakan pengurusan pentadbiran tanpa fail di dalam mahkamah.



“Kewujudan jawatan Pengarah di bahagian khidmat pengurusan dari kalangan Pegawai Tadbir Negeri (TCS) juga dapat melicinkan kerja pentadbiran dan kewangan di jabatan ini yang selama ini dilaksanakan oleh Ketua Pendaftar,” katanya.

Katanya, pencapaian inovasi dan kreativiti tersebut adalah hasil manifestasi dan komitmen seluruh warga JKST.

Majlis yang diadakan turut meraikan tiga kakitangan JKST yang bersara serta lapan orang menerima APC bagi 2011.