Halaman

16 November 2011

i-Heal bersedia untuk terbang tinggi


Pembedahan pintasan (bypass surgery) yang dilakukan oleh pakar pembedahan jantung, Dr. David Khoo Sin Keat di iHEAL selama kira-kira empat jam bagi membuat penggantian tiga salur darah jantung sebelah kiri dan kanan (vena dan arteri)pesakit, Loke Keng Weo, 57 tahun, yang tersumbat. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh FAUZI MOHD

Walaupun langkahnya tidak sampai setengah tahun, i-Heal Medical Centre Kuala Lumpur kini dikatakan sudah berada dalam status pusat perkhidmatan kesihatan pakar pilihan.

Setelah melakar sejarah dalam pembedahan jantung pertama pada 13 Oktober lalu dan kali kedua pada 3 November, i-Heal hari ini membuktikan kemampuannya untuk terbang lebih tinggi dalam menawarkan rawatan kesihatan.

Pengarah Kesihatan i-Heal, Dr. David Khoo Sin Keat berkata, pembedahan pintasan (bypass surgery) selama kira-kira empat jam itu bagi membuat penggantian tiga salur darah jantung sebelah kiri dan kanan (vena dan arteri) Loke Keng Weo, 57 tahun, yang tersumbat.


Katanya, tiga salur darah bersaiz 1.8 hingga 2 milimeter dari peha kiri dan kanan pesakit sepanjang 10 hingga 13 sentimeter digunakan untuk membuat pintasan dan satu salur darah pada bahagian rongga dada disambung terus ke jantung kanan.

"Pembedahan ini bagi memulihkan pengaliran darah ke bahagian jantung pesakit dimana salur darah jantung kanan tersumbat 100 peratus manakala dua salur darah sebelah kiri antara 60 hingga 80 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada krew wartawan Teganukita selepas mengetuai pembedahan itu di i-Heal Medical Centre di pusat membeli belah Mid Valley, Kuala Lumpur, hari ini.




Pusat kesihatan itu dibangunkan dengan modal RM28 juta oleh Lembaga Tabung Amanah Warisan Terengganu (LTAWT) yang menguasai 60 peratus kepentingan sahamnya dan baki 40 peratus lagi oleh Biomedical Technologies Sdn. Bhd. dan pengasasnya iaitu Sin Keat sendiri.

Tambah Sin Keat, pembedahan menjadi lebih cepat dengan penggunaan alat pengimbas, CT Scanner yang mampu menghasilkan 640 'slice 4D' dan ia adalah yang tercanggih di dunia dan pertama di Malaysia.

Katanya, dengan kemudahan teknologi i-Heal, tiada pembedahan dilakukan untuk mengesan masalah jantung tersumbat dengan menggunakan CT Scanner.







"Dengan teknologi kamera pembedahan, kaki tidak perlu dibelah untuk mengambil salur darah tanpa melibatkan masa operasi yang lama.

"Apa yang menarik di i-Heal, pembedahan ini tanpa menggunakan pam bagi menggantikan fungsi jantung dan paru-paru masa operasi. Salur darah dijahit dalam keadaan jantung sedang berdegup," katanya yang berpengalaman membedah jantung lebih 1,000 kali tanpa pam.