Halaman

14 November 2011

Hasil ladang sawit Perkasa biayai anak yatim

Oleh FAUZI MOHD

Persatuan Kebajikan Islam Terengganu (Perkasa) yakin mampu memperolehi pendapatan tahunan kira-kira RM1.7 juta pada 2012 dan 2013 berdasarkan hasil positif dalam pelaburan perladangan kelapa sawit.

Yang Dipertua Perkasa, Yusof Musa berkata, ladang sawit seluas 611 ekar di Hulu Cukai, Kemaman melalui usahasama pertubuhan itu dengan Syarikat Tradewinds (M) Sdn. Bhd. mula membuahkan hasil.

Bermula tahun 2011 katanya, pembahagian dividen hasil ladang itu adalah mengikut kadar baru dengan nisbah 30 peratus milik Perkasa dengan jangkaan perolehan kira-kira RM1 juta pada kedua-dua tahun itu.

Menurutnya, kaedah lama sebelum ladang itu membuahkan hasil, Perkasa menerima RM375,000 pada 2008, RM360,000 (2009), RM300,000 (2010) daripada pelaburan berkenaan.

“Dengan sumber pendapatan hasil ladang kira-kira RM1 juta dan selebihnya sumbangan daripada pelbagai pihak, kita yakin mampu mengukuhkan dana Perkasa dengan perolehan RM1.7 juta untuk dua tahun berturut-turut.

“Perolehan itu mampu membiayai perbelanjaan aktiviti kebajikan 161 orang anak yatim dan gaji 22 kakitangan di asrama kita yang makin meningkat serta pengurus dan penyelia ladang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Perkasa kali ke-57 di Asrama Darul Falah, Bukit Payong, Marang Sabtu lalu yang dirasmikan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Zaidi Muda.

Tambah Yusof, Perkasa turut memperolehi hasil tambahan daripada ladang sawit yang diusahakan sendiri pertubuhan itu di Seri Bandi, Kemaman seluas 116 ekar dan di
Kuala Telemong, Hulu Terengganu seluas 9.5 ekar.

“Perkasa akan terus memikirkan peluang pelaburan terbaik termasuk sektor hartanah bagi membiayai kebajikan anak yatim dan tidak mengharapkan sumbangan orang ramai dan badan kerajaan semata-mata,” jelasnya.

Menurutnya, selain bantuan syarikat dan persendirian, Asrama Darul Falah turut mendapat peruntukan tahunan daripada Jabatan Pelajaran negeri, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kira-kira RM700,000 setahun.

Sementara itu, Yusof kekal sebagai Yang Dipertua Perkasa untuk empat tahun akan datang apabila menang tanpa bertanding dalam mesyuarat itu.

Muka lama, Awang Taha dan Abdul Hamid Mohd. Salleh masing-masing terus diberi mandat sebagai Timbalan dan Naib Yang Dipertua pertubuhan itu.