Halaman

25 November 2011

Fasa pertama kilang keluli RM1.8 bilion bermula Disember

Oleh FAUZI MOHD



Pembangunan fasa pertama kilang keluli bersepadu di Kemaman bernilai RM1.8 bilion akan bermula pada awal bulan depan, kata Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

ECER dalam kenyataannya berkata, syarikat tempatan, Hiap Teck Venture Bhd. dan China Shougang Group, yang memeterai perjanjian pembinaan kilang di bawah Eastern Steel Sdn. Bhd., akan membina kilang berkenaan secara berperingkat.

"Peringkat pertama fasa satu kilang itu, dengan keupayaan pengeluaran tahunan 700,000 tan metrik (MT) keluli, dijangka siap menjelang pertengahan 2013 pada kos RM750 juta.

"Peringkat dua dijangka melibatkan pelaburan sebanyak RM1.05 bilion lagi, sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluaran kilang kepada 1.5 juta tan metrik setahun," katanya.

ECER berkata, keluli berkualiti tinggi yang dihasilkan mengguna teknologi relau bagas akan menampung pasaran-pasaran hiliran dan juga serantau.



Kilang itu terletak di kawasan seluas 480 hektar dalam lingkungan Taman Perindustrian Berat Kemaman dalam Zon Ekonomi Khas ECER yang menawarkan pakej istimewa insentif dan bukan insentif kepada pelabur.

Ini merupakan pelaburan pertama China Shougang dalam kilang keluli di luar China dan pelaburan asing langsung China terbesar di Malaysia setakat ini.

Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said dijangka merasmikan majlis pecah tanah kilang itu pada 5 Disember ini.

Taman Perindustrian Berat Kemaman memberi tumpuan kepada pembangunan industri berat serta aktiviti-aktiviti hiliran dengan hubungan pelabuhan.

Majlis Pembangunan ECER komited untuk menyediakan kemudahan baru dan menambah baik yang sedia ada untuk merancakkan lagi pelaburan di rantau itu.

Ini termasuklah menambah baik Pelabuhan Kemaman, Jambatan Bukit Kuang, kerja-kerja pelebaran jalan, penebatan banjir dan projek pengangkutan air di Sungai Cukai