Halaman

06 November 2011

Biro Pengundi Luar dan NGO Umno Terengganu anjur Konvensyen NGO


Oleh: Amirullah Othman

Seramai 800 peserta daripada 67 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri ini akan mengambil bahagian dalam Konvensyen NGO peringkat negeri Terengganu, pada 14 Januari tahun depan, di Primula Hotel, Kuala Terengganu.

Pengerusi Biro Pengundi Luar dan NGO Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar, berkata pihaknya mengadakan program itu bagi membincangkan isu-isu semasa dan melontarkan pandangan kepada peserta bagi membantu kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Konvensyen sehari itu dijangka dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu.

Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Dato’ Zulkifli Nordin; Ahli Parlimen Kinabatangan, Dato’ Bung Moktar Radin, Ahli Parlimen Sri Gading, YB Mohd Aziz Dagang dan Senator Mohd Ezam Mohd Nor, dijangka hadir sama pada konvensyen itu.

Konvensyen itu akan berlangsung dalam tiga sesi iaitu sesi pertama pembentangan kertas kerja bertajuk ‘ Cara dan HalaTuju Ngo Dalam Memperkasakan Organisasi NGO’, sesi kedua menyentuh isu-isu semasa dan sesi ketiga bertajuk ‘Peranan NGO Dalam Memperkasakan Kerajaan Barisan Nasional.

Dato’ Abdul Rahman berkata, pihaknya berharap melalui konvensyen itu peranan NGO membantu memperkasakan BN akan dihargai kerana pimpinan NGO sentiasa memberi sumbangan besar ke arah mengukuhkan kedudukan Umno dan BN di negeri ini.

“Umno dan BN memang mengharapkan bantuan mereka bagi membantu kemenangan Barisan Nasional pada PRU-13 nanti,” ujar beliau.