Halaman

04 November 2011

Bekalan kambing mencukupi

Oleh: Suriati Ali

Bekalan kambing untuk pasaran dalam negara terutama bagi ibadah korban mencukupi walaupun pengeluaran domestik untuk haiwan itu hanya meliputi 10 peratus dalam pasaran.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Kamarul Badri Mat Ali berkata, walaupun pembekal utama kambing, Thailand kini menghadapi banjir besar, bekalan haiwan itu boleh diperoleh dari negara lain termasuk Myanmar.

"Bekalan bukanlah masalah utama bagi kita. Masalahnya ketika ini cuma dari segi pengagihan kerana sesetengah kawasan mungkin ada lebihan dan tempat lain mungkin kurang," katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Inovasi LPP peringkat negeri, di Wisma Peladang, Jalan Sultan Mohamad, Kuala Terengganu, semalam (3 November).

Hadir sama Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengarah LPP negeri, Shamsuddin Mat Rani.

Beliau berkata, bagi meningkatkan pengeluaran tempatan, LPP menggalakkan individu atau pertubuhan mengusahakan ternakan kambing.

"Individu boleh memohon melalui Program Pertubuhan Peladang dengan bantuan sebanyak RM30,000, manakala bagi pertubuhan pula, ia dibuat menerusi Program Pengeluaran Ladang dengan bantuan sebanyak RM500,000," ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, Shamsuddin pula mengingatkan pertubuhan dan petani membuat persiapan awal bagi menghadapi banjir dengan memastikan pengeluaran dapat dilakukan lebih awal dan ternakan dipindahkan.

Sementara itu, pada majlis tersebut, pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gerai membolot empat anugerah utama inovasi iaitu Laporan Audit Bersih Tahun Kewangan 2010; Laporan Audit Bersih Tiga Tahun Berturut-turut; Laporan Audit Bersih Program Pemasaran Pertubuhan Peladang Jaya dan Pengurusan Kewangan Pertubuhan Peladang Kawasan Terbaik.

Sementara itu, johan Kumpulan Inovatif dan Kreatif pula disandang oleh Kumpulan Ino-Q daripada Pertubuhan Peladang negeri (PPN) Terengganu yang memenangi Anugerah Perdana, manakala Kumpulan D-Mai dari PPK Kuala Berang pula memenangi Anugerah Emas dan Kumpulan Padi dari PPK Kerandang dan O-dit cawangan audit pertubuhan (Anugerah Perak).

Dua kakitangan LPP iaitu Azha Ngah dan Zakry Ismail pula diumumkan sebagai Tokoh Inovasi 2011