Halaman

09 November 2011

169 Pelajar MRSM Besut hadir majlis graduasi

Oleh: Mohammad Ishak


Dr A Rahman Mokhtar menyampaikan sijil anugerah kepada pelajar MRSM Besut


Majlis Graduasi Maktab Rendah Ke 7 Mara (MRSM) Besut, di Kota Putera, yang berlangsung di maktab itu kelmarin diadakan dalam suasana meriah dengan kehadiran ibu bapa dan penjaga pelajar yang ingin melihat kejayaan anak masing-masing.

Ia dihadiri 169 pelajar yang menamatkan sesi pembelajaran bagi tahun ini yang membabitkan pelajar peringkat menengah dan menengah atas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, YB Dr A Rahman Mokhtar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, diberi penghormatan merasmikan majlis berkenaan dan menyampaikan sijil kepada pelajar terbabit.

Sempena majlis itu juga pihak MRSM turut memberi penghormatan kepada pelajar dengan mengadakan beberapa anugerah khas termasuk Pelajar Serba Boleh, Anugerah Terbaik Subjek Tingkatan 5 dan Tokoh Pelajar sebagai menghargai kebolehan pelajar dalam bidang masing-masing.

Pelajar Serba Boleh, Amira Sariati Zainal, yang menerima anugerah berkenaan bersyukur kerana terpilih dikalangan rakan-rakan lain sambil menyifatkan ia satu pengiktirafan MRSM kepada beliau.

“Pemilihan ini akan dijadikan asas untuk saya terus berusaha meningkatkan keupayaan dalam pendidikan seterusnya mengharumkan nama MRSM,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Dr A Rahman ketika merasmikan majlis itu berkata, MRSM sebuah institusi yang mampu melahirkan ramai pelajar berkemahiran tinggi kerana sistem pembelajaran yang dilaksanakan amat bersistem.

Katanya,pelajar sewajarnya dapat memanfaatkan pelbagai kemudahan pembelajaran yang ada di maktab berkenaan kerana kerajaan sentiasa berusaha untuk memajukan bidang pendidikan malah menjadi keutamaan dalam pelaksanaan dasar kerajaan.