Halaman

19 October 2011

UMNO Terengganu selar sikap pembangkang

Oleh: Suriati Ali

UMNO Terengganu menyelar sikap parti pembangkang yang bersikap kurang senang terhadap Belanjawan 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri pada 7 Oktober lalu.

Ketua Penerangan UMNO Terengganu, YB Ahmad Razif Abd Rahman, berkata jika belanjawan 2012 yang berpijak kepada realiti ekonomi tidak diyakini pembangkang, sudah tentu mereka juga tidak yakin dengan Belajawan Pakatan Rakyat yang diumumkan lebih awal daripada kerajaan.

Katanya, Belanjawan PR yang disifatkan luar biasa dan dirancang sendiri PR sendiri sudah tentu tidak boleh dipercayai.

“Apa yang dirancang PR memperlihatkan keluarbiasaan dan kalau tidak percaya kepada Belanjawan 2012, itu bermakna dia juga retorik dan bersikap ketidakpercayaan kepada belajawan sendiri.

“Apa yang dilakukan kerajaan adalah belanjawan yang diyakini dan bertanggungjawab,” katanya.

Menurutnya, beliau yakin pucuk pimpinan akan melaksanakan apa yang dijanjikan dan melaksanakan kebajikan.

“Perkembangan ekonomi semasa menunjukkan beberapa transformasi yang dilakukan kerajaan juga telah menunjukkan konsep rakyat didahulukan.

“Kerajaan Barisan Nasional sememangnya cekap dalam mempertahankan ekonomi negara apabila krisis ekonomi dan inflasi yang berlaku sekitar penghujung 1997 telah diselamatkan di bawah mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahatdir Mohamad sehingga kita tidak perlu bergantung kepada pihak lain,” katanya.