Halaman

01 October 2011

Tun Dr Mahathir terima Ijazah Kehormat UMT.

Oleh; Esah Abdullah



Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah berkenan menyampaikan Pengurniaan Ijazah Kehormat Universiti Malaysia Terengganu (UMT) 2011 kepada Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Majlis Konvokesyen Ke-9, di Dewan Sultan Mizan UMT hari ini.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis berkenaan.

Hadir sama, Tengku Seri Temenggong Raja; Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Pro-Canselor UMT Tan Sri Samsudin Osman dan Naib Canselor UMT Prof. Dato’ Dr. Aziz Deraman.

Raja Permaisuri Agong yang juga Canselor UMT berkenan menyampaikan Anugerah Profesor Emeritus Bidang Sains Akuakultur kepada Prof. Dr Faizah Shaharom manakala dua penerima Anugerah Pelajaran DiRaja ialah Tengku Teh Mariah Tengku Jewa dari Fakulti Pembangunan Sosial dan Cheah Jun Hwa dari Fakulti Pengurusan dan Ekonomi.

Anugerah Pingat Emas Canselor diterima oleh Nurul Rabitah Daud dari Fakulti Pengajian Maritim dan Sains Marin dan Anugerah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti diterima Thekkeparambil Chandrabose Srijaya dalam Bidang Sains Tulin dan Muhammad Abi Sofian Abdul Halim dari Bidang Sains Sosial di samping penerima Anugerah Peringkat Fakulti (30) dan Doktor Falsafah (13).

Seramai 1,763 menerima Sarjana Muda dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan (FASM), Fakulti Pengajian Maritim dan Sains Marin (FMSM) dan Fakulti Pembangunan Sosial (FPS).