Halaman

01 October 2011

Tujuh penerbangan terus ke Jeddah dan Madinah

Oleh: Suriati Ali

Syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) akan membuat tujuh penerbangan haji terus ke Jeddah dan Madinah dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu pada tahun ini.

Pengarah Tabung Haji negeri Terengganu, Mohammad Mokhzani Mukhtar berkata setiap penerbangan terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah dan ke Lapangan Terbang Putera Mohamad Madinah al-Munawarah, Madinah itu akan melibatkan seramai 447 penumpang.

“Ini tahun keempat Tabung Haji dengan kerjasama MAS menyediakan penerbangan terus ke Jeddah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis taklimat pelepasan penerbangan haji kepada agensi-agensi kerajaan terlibat sebagai penyelaras rombongan jemaah haji, di LTSM baru-baru ini .

MAS dan Tabung Haji menjalin kerjasama dalam urusan pemergian jemaah haji Malaysia ke tanah suci bermula sejak tahun 1974.

“Jemaah haji terutamanya dari Kelantan dan Pahang diingatkan merancang perjalanan mereka supaya tiba awal di LTSM pada pukul 7.30 pagi kerana setiap penerbangan akan berlepas pukul 11.35 pagi," katanya