Halaman

19 October 2011

TSG buru kedudukan terbaik di China dan Jepun

Oleh FAUZI MOHD


TERENGGANU Pro-Asia Cycling Team (TSG) mempertaruhkan tujuh pelumba untuk mengalas misi memburu tempat pada kejohanan Tour of Hainan di China bermula esok.

Pengurus TSG, Ahmad Kamarul Idrus berkata, dalam kejohanan sembilan hari itu harapan diletakkan kepada empat pelumba tempatan, dua Korea Selatan dan seorang Jepun.

Menurutnya, pasukan itu terdiri daripada Anuar Manan, Haris Salleh, Amirul Fakharuddin, Mohd. Shahrul Mat Amin, Cha Jang Jae (Korea Selatan), Kim Do Hyoung (Korea Selatan) dan Motoi Nara (Jepun).

“Pasukan itu diketuai pelumba sensasi yang juga Raja Pecut Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi 2010, Anuar Manan,” katanya di sini hari ini.

Tambah Ahmad Kamarul, TSG bakal bersaing dengan 30 pasukan dari Eropah dan Asia dengan sasaran dapat menyarung jersi pecut menerusi Anuar Manan.

Katanya, Tour of Hainan merupakan kejohanan profesional yang ke-16 disertai pasukan yang ditubuhkan Kerajaan Negeri Terengganu tahun ini.

“Selepas ini TSG akan menyertai satu lagi kejohanan sebelum tirai 2011 dilabuhkan iaitu Tour of Okinawa di Jepun yang bermula dari 12 hingga 13 November ini.

“Lima pelumba disenaraikan untuk membawa cabaran itu iaitu Yusrizal Usop, Amirul Fakaruddin, Mohd. Sobri Abdullah serta Motoi Nara dan Shinichi Fukushima dari Jepun,” ujarnya.