Halaman

29 October 2011

Terengganu pasukan bagus, Negeri Sembilan terumbang ambing - Azraai Khor

Oleh FAUZI MOHD

JURULATIH Negeri Sembilan, Mohd.Azraai Khor Abdullah menganggap Terengganu sebagai pasukan pilihan untuk menjulang Piala Malaysia pada final malam ini, berdasarkan prestasi skuad Penyu musim ini.

Menganggap Terengganu merupakan pasukan terbaik dalam saingan Liga Malaysia, beliau berkata, rekod menjuarai Piala FA dan keupayaan muncul naib juara Liga Super, membuktikan skuad Penyu merupakan pasukan yang lebih konsisten.

"Terengganu sebuah pasukan yang bagus. Mereka merupakan juara Piala FA dan naib juara Liga Super. Ia menunjukkan mereka adalah sebuah pasukan yang mantap.

"Berbanding Negeri Sembilan, kami agak terumbang-ambing dalam saingan Liga Super dan Piala FA, namun kami tidak mahu itu dijadikan sebagai alasan bagi menghadapi Terengganu.

"Memandangkan ini merupakan perlawanan akhir, kami akan memberikan segala-galanya jika mahu menang, tiada lagi pilihan lain, " kata Azraai pada sidang media sempena perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, semalam.