Halaman

06 October 2011

Sukarelawan bantu polis pantau jenayah

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Seramai 5,550 anggota Skim Rondaan Sukarelawan (SRS) akan mengintip penjenayah di negeri ini, apabila mereka mengadakan rondaan di kawasan tertentu bagi membantu pihak berkuasa untuk memerangi jenayah.

Sehingga akhir Ogos lalu, sebanyak 222 unit SRS telah ditubuhkan di Terengganu bagi tujuan mengurangkan kadar jenayah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, YB Dr A. Rahman Mokhtar, berkata penubuhan SRS bertujuan membantu pihak keselamatan mengurangkan kadar jenayah melalui tugas rondaan dan ditubuhkan di kawasan yang ada Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

SRS ditubuhkan Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (JPNIN) melalui kawasan RT di mana Nota Persefahaman Kerjasama Strategik dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah ditandatangani bagi membolehkan anggota SRS menjalankan tugas mereka dengan lebih berkesan.

Pada majlis menandatangani nota berkenaan kelmarin, JPNIN diwakili Pengarahnya, Encik Tukimin Sarlan manakala Ketua Polis Negeri, Dato’ Jamshah Mustafa mewakili PDRM.

Semua pegawai perpaduan daerah dan Ketua Polis Daerah turut menandatangani nota tersebut bagi peringkat daerah masing-masing.

Dr A. Rahman berkata, pada masa ini terdapat 8,300 anggota KRT di negeri ini dan masih banyak SRS akan ditubuhkan dalam tempoh terdekat bagi membolehkan anggota KRT menyertai SRS.

Beliau berkata, kerjasama antara JPNIN dan PDRM membolehkan tugas dan tanggungjawab anggota SRS diselaraskan di samping mereka akan diberi latihan bagi memerangi jenayah di kawasan masing-masing.