Halaman

02 October 2011

SUK minta penjawat awam kekal kaedah kerja berkualiti

Penjawat awam di negeri ini diminta mengekalkan kaedah berkerja secara berkualiti dan mengamalkan budaya sihat sewaktu bertugas supaya mampu dipandang positif oleh masyarakat.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata secanggih mana pun teknologi dan peralatan yang digunakan dalam tugas seharian, ia tidak akan menjamin perkhidmatan berkualiti sekiranya ia tidak disertai dengan sikap positif dan komitmen bersungguh-sungguh.

“Sehubungan itu, untuk cemerlang kita tidak ada alternatif melainkan bersaing secara sihat.

“Setiap penjawat awam perlu bersaing berikutan mahu mengekalkan apa yang sedang dicapai dan seterusnya memacu lebih ke hadapan,” katanya ketika berucap di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang & Penganugerahan Pensijilan 5S/QE Yayasan Islam Terengganu (YIT) di bangunan YIT, Kuala Terengganu, hari ini (2 Oktober).

Hadir sama, Pengarah YIT Haji Md. Kamaru Al-Amin Ismail, Timbalan Pengarah YIT Haji Alias bin Jaafar dan Pegawai Perunding Perbadanan Produktiviti Malaysia Terengganu, Puan Muhaslizawati.

Seramai 35 kakitangan YIT menerima anugerah perkhimatan cemerlang dengan membawa pulang wang tunai RM1,000 dan sijil penghargaan setiap seorang.

Guru Kelas al-Quran Fardu Ain (Kafa), guru khidmat masyarakat dan guru pintar al-Quran di bawah bimbingan YIT turut menerima anugerah khas sebagai perangsang untuk terus cemerlang.

Dato’ Haji Mazlan turut mengingatkan bahawa tugas sebagai penjawat awam merupakan satu amanah yang cukup besar.

“Tanggungjawab yang dipikul tidak memadai sekiranya tugas yang dilaksanakan dipandang ringan atau kata pepatah ‘melepaskan batuk ditangga’,” katanya.