Halaman

07 October 2011

Projek perumahan kastam siap

Oleh: Nurul Aziela Saberi



Projek perumahan lapan unit pangsapuri dan dua banglo beserta dewan serbaguna dan surau yang dilaksanakan melalui Rancangan Malaysia Ke-9, bernilai RM7.1 juta telah siap dibina pada 21 Ogos lalu.

Simbolik penyerahan kunci bangunan berkenaan dilakukan Jurutera Daerah Kemaman, Ir Hasmi Ahmad kepada Timbalan Ketua Pengarah Kastam Malaysia (Pengurusan), Dato’ Haji Ghazali Haji Ahmad di Dewan Serbaguna Perumahan Kastam Kemaman, kelmarin.

Turut serta di majlis itu, Pengarah Kastam Negeri, Haji Abdullah Zawawi Abdul Latif; Ketua Kastam Daerah Kemaman, Raja Badri Syah Raja Azman dan Ketua Cawangan Perhubungan Awam Ibu Pejabat Putrajaya (JKDM), Encik Mohd Nasir Yusoff.

Menurut Dato’ Haji Ghazali, projek perumahan itu dapat menampung kakitangan dan pegawai kastam yang masih belum mempunyai penempatan.

Beliau berharap kakitangan dapat menjaga kemudahan yang disediakan sepertimana harta mereka sendiri dan dapat meningkatkan lagi mutu kerja apabila bertugas kelak.



“Matlamat sebenar Kastam apabila perumahan seperti ini siap dibina keluarga kakitangan dapat tinggal dengan selesa dan selamat, segaligus kakitangan dapat menjalankan tugas dengan tenang apabila bekerja di luar kawasan.

“Pemilihan kakitangan yang akan menetap di perumahan baru ini berdasarkan pangkat dan prestasi mereka sepanjang menjalankan tugas,” katanya.

Selain daripada Jabatan Kastam Kemaman, seluruh jabatan Kastam di Malaysia juga turut menerima peruntukkan di bawah Rancangan Malaysia ke 9.