Halaman

25 October 2011

Peruntukan RM20,000 sedia tempat lawan pedang

Oleh: Esah Abdullah

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim Fikri Seberang Takir dipilih sebagai tempat latihan acara lawan pedang bagi mencungkil bakat baru dalam sukan berkenaan dari seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata kerajaan negeri serius untuk melahirkan jaguh lawan pedang dari kalangan pelajar negeri ini, sekaligus menghantar mereka menyertai Sukan Malaysia (Sukma) tahun depan.

“Sejumlah RM20,000 diperuntukkan untuk mengubahsuai tempat latihan di kawasan sekolah ini bagi kemudahan pelajar menjalani latihan,” katanya pada majlis Graduasi SMK Ibrahim Fikri, Seberang Takir bagi pelajar Tingkatan Lima dan Enam Atas yang akan meninggalkan sekolah berkenaan tahun ini.

Katanya, kerajaan sedia lakukan apa saja untuk melihat kejayaan semua pelajar sama ada dalam akademik atau pun bidang sukan.

YB Haji Ahmad Razif juga meminta pelajar terbabit menganggap pemakaian jubah graduasi hari ini sebagai permulaan untuk menyarung jubah konvokesyen pada masa akan datang.

“Saya janji akan menghadiahkan komputer riba kepada setiap mereka yang berjaya mendapat A dalam semua mata pelajaran dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diduduki November ini,” katanya.


Sehubungan itu, katanya ibu bapa perlu ada komitmen untuk memberi tambah nilai bagi memajukan pelajaran anak masing-masing walau pun kerajaan telah memansuhkan yuran sekolah serta memberi imbuhan RM100 kepada setiap pelajar mulai Januari tahun depan.

Seramai 303 pelajar menerima sijil graduasi masing-masing termasuk 238 orang pelajar yang akan menduduki SPM dan 65 orang akan mengambil STPM bulan depan.