Halaman

24 October 2011

Pembangunan semula Pekan Ajil sedang rancak dijalankan

Oleh: Suriati Ali

Pembangunan semula Pekan Ajil, Hulu Terengganu yang membabitkan kos RM4.2 juta kini sedang rancak dilaksanakan dengan memasang cerucuk di bangunan empat tingkat.

Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT), Encik Talaha Ali, berkata apabila bangunan yang menempatkan 46 lot kedai itu siap kelak, ia bukan saja mampu mengubah landskap Pekan Ajil malah merancakkan lagi sosio-ekonomi masyarakat setempat.

“Pembangunan semula kawasan itu berkonsepkan indah dan bersih. Sehubungan itu, peranan komuniti setempat juga amat diperlukan dalam memastikan persekitaran Pekan Ajil kelak sentiasa indah serta bersih biarpun pemandangan demi pembangunan dijalankan.

“Antara projek yang disenaraikan di bawah pelan Pembangunan Semula Pekan Ajil, termasuk membina stesen kemudahan awam, beberapa lot perkedaian dan lot kedai buah.

“Lot gerai buah yang terletak di persimpangan Ajil Jerangau ini telah siap dibina dan dijangka perniaga yang berkaitan akan berpindah bia-bila masa,” katanya.