Halaman

26 October 2011

Pelajar SMK Tengku Lela Segara dirai di majlis graduasi



Oleh : Amirullah Othman


Seramai 49 pelajar pra-universiti dan 143 pelajar tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Lela Segara dirai dalam Majlis Graduasi Kali Ke-3 di sekolah berkenaan, kelmarin.

Majlis itu dirasmikan Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar dan turut dihadiri Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru, Encik Roslan Ngah; Penolong Bendahari Alumni, Encik Anuar Yahya dan Pengetua sekolah, Encik Mukhtar A. Ghani.

Majlis penuh gilang gemilang ini turut disaksikan ratusan ibu bapa yang datang ke sekolah itu bagi melihat anak-anak mereka menerima graduasi dengan memakai jubah seperti penuntut universiti.

Dalam ucapannya Dato’ Abdul Rahman mengingatkan para pelajar mengenai kepentingan bidang pendidikan kerana tanpa ilmu tidak mungkin negara mampu berkembang maju dan menjana modal insan.

Beliau juga meminta ibu bapa supaya mementingkan pelajaran anak-anak dan tidak menjadikan kekangan kewangan sebagai alasan mereka tercicir dalam pelajaran kerana kerajaan mengeluarkan peruntukan yang besar bagi meningkatkan bidang tersebut.

Antara bantuan kerajaan kepada pelajar di negeri ini ialah pemberian e-Book secara percuma, bantuan permulaan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti awam dan swasta dan sekolah berasrama penuh serta pusat-pusat kemahiran.

Encik Mukhtar pula dalam ucapannya menyatakan ‘graduan’ yang berjaya adalah mereka yang memperolehi kepujian Bahasa Malaysia dan sekurang-kurangnya 6.0 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia , manakala dalam STPM pula pelajar perlu mendapat sekurang-kurangnya 2.0 dan lulus penuh mata pelajaran Pengajian Am.

SMK Tengku Lela Segara merupakan sekolah yang begitu cemerlang dalam akademik serta melahirkan atlet-atlet negeri Terengganu terutamanya dalam sukan mendayung dan kenu.