Halaman

27 October 2011

Dekati belia melalui program turun padang

Oleh: Suriati Ali

Program turun padang dengan mendekati dengan golongan belia adalah salah satu kaedah terbaik dalam memastikan kemenangan terus berpihak kepada Barisan Nasional pada pilihan raya akan datang.

Ketua Pemuda Umno bahagian Setiu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri YB Haji Khazan Che Mat berkata, pihaknya tidak mahu generasi baru hari ini diberi gambaran negatif oleh pembangkang mengenai agenda pembaharuan yang dibawa kerana setiap apa yang dilakukan kerajaan sentiasa seimbang sama ada melalui penekanan kerohanian, pendidikan atau pembangunan negeri.

“Tidak ada sebab pembangkang memainkan isu kebajikan yang telah dilakukan kerajaan BN sekarang melainkan mereka mempunyai perancangan tersendiri untuk menawan semula negeri ini.



“Saya mengharapkan sokongan padu daripada belia bukan sahaja mampu mengekalkan kemenangan Umno malah bagi memastikan kemajuan negeri dalam pelbagai aspek,” katanya ketika berucap di Majlis Himpunan Pemuda Bermotor Dun Permaisuri dan Pengagihan Jaket di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana, semalam (26 Oktober).

Seramai 600 pemuda bermotor atau juga dikenal sebagai ‘mat motor’ dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri berhimpun dalam program bersama pemimpin yang bertujuan mendekati golongan belia ke arah melahirkan generasi pelapis berdaya maju dan mampu bersaing.

Pada program itu, peserta diberi ceramah motivasi supaya menghindarkan gejala negatif dan menjalani gaya hidup sihat.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permaisuri, YB Encik Abdul Halim Jusoh, Pengerusi Penyelaras Pemuda Umno Dun Permaisuri, Yahya Mohd Nor dan beberapa pemimpin setempat.

YB Encik Abdul Halim berkata, pendekatan yang digunakan dalam program bertujuan menyelami perasaan golongan belia kerana sebelum ini sering diberi tanggapan negatif oleh masyarakat.


“Bukan mudah sebenarnya untuk menarik penyertaan pemuda dalam sesuatu program, namun jika kena pada caranya ia tidak mustahil mendapat sokongan dan komitmen mereka.

“Setakat ini program yang melibatkan pemuda telah dilaksanakan secara berperingkat dan kita berjaya mengumpulkan hampir 4,500 pemuda dari empat zon termasuk zon pantai, tengah, bandar dan utara bagi kawasan Permaisuri,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan program yang dilakukan di Dun Permaisuri tidak hanya terhad kepada pemuda sahaja kerana Wanita dan Puteri turut diberi pendekatan sama selain pimpinan Umno bahagian atau cawangan.

“Kita mahu setiap perancangan yang dibuat oleh kerajaan mencapai matlamat kepada semua kelompok masyarakat tanpa mengira status. Apa yang penting, hak rakyat perlu diutamakan.

“Diharap selepas ini tidak akan timbul masalah yang boleh menjejaskan sokongan rakyat kepada kerajaan sedia ada kerana sudah banyak dasar dan pembangunan dilaksanakan memenuhi kehendak mereka,” katanya.