Halaman

05 October 2011

MB minta FRU lebih proaktif

Oleh: Suriati Ali

Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di negeri ini diminta lebih proaktif ketika menjalankan tugas mengawal keselamatan pemain setiap kali perlawanan bola sepak diadakan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pasukan itu sewajarnya menempatkan lebih ramai anggota di setiap penjuru stadium supaya keadaan dan tingkah laku penonton lebih terkawal.

“Sekiranya terpandang aksi penonton yang kurang menyenangkan seperti membaling botol minuman dan mengeluarkan kata-kata kesat, mereka sepatutnya bertindak lebih awal dengan mendekati penonton itu untuk memberi amaran tegas.

“Langkah ini perlu dilaksanakan segera kerana sudah kerap kali perkara sama seperti membaling mercun dan bergaduh berlaku di stadium itu,” katanya ketika pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Imam, Kuala Terengganu, hari ini (5 Oktober).

Dato’ Seri Haji Ahmad sekali lagi mengingatkan penonton supaya bertindak lebih sopan dan menjaga tingkah laku ketika menyaksikan pertemuan pasukan Terengganu dan Kelantan pada pusingan suku akhir pertama Piala Malaysia, 10 Oktober nanti.

“Saya mendapati memang wujud satu kumpulan kecil yang sering menimbulkan kekacauan di stadium dan saya ingatkan kepada kumpulan ini agar menghormati budaya kita serta jangan sesekali memalukan imej Terengganu,” katanya.