Halaman

05 October 2011

Mara lulus RM22.7 juta pinjaman kepada 262 usahawan Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengeluarkan pinjaman sebanyak RM22.7 juta kepada 262 usahawan di Terengganu dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Pengarah Mara negeri, Abdullah Muhamad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM13.8 juta diluluskan untuk pinjaman kontrak yang melibatkan seramai 144 orang.

"Mereka meminjam antara RM250,000 dan RM500,000, bergantung kepada projek yang dijalankan," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Khidmat Cemerlang Mara 2010 yang disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Sumber Manusia Mara, Ramli Sudin.

Abdullah berkata, pinjaman kontrak merupakan pinjaman terbesar yang dikeluarkan di Terengganu setakat ini.

Beliau memberitahu, Mara tidak menghadapi masalah dari segi bayaran balik daripada para peminjam.

Dalam perkembangan lain, Abdullah berkata dalam tempoh yang sama Mara membelanjakan lebih RM374,800 untuk pinjaman pendahuluan kepada 249 pelajar yang berjaya masuk ke univesiti swasta tahun ini.

Beliau berkata pelajar berkenaan mendapat pinjaman sebanyak RM2,000 setiap seorang.