Halaman

03 October 2011

Lebih 8,000 kanak-kanak tadika bakal khatam al-Quran

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 8,000 kanak-kanak yang mengikuti pendidikan awal di institusi kelolaan kerajaan negeri dan Pusat di Terengganu dijangka menyertai Majlis Khatam dan Pintar al-Quran di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, pada 22 Oktober ini.

Bilangan itu melibatkan kanak –kanak berusia 5 dan 6 tahun daripada empat gabungan tadika iaitu Yayasan Islam Terengganu (YIT), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dan Jabatan Perpaduan dan Integriti Nasional.

Pengarah, Md Kamarul Al-Amin Ismail, berkata pihaknya bangga kerana program yang dianjurkan lima tahun berturut-turut itu bukan saja dapat meningkatkan jumlah penyertaan malah mendapat sokongan pelbagai pihak terutama ibu bapa.

“Pada tahun lalu, seramai 7,000 kanak-kanak daripada empat tadika sama berjaya khatam al-Quran dengan sempurna,” katanya.
Katanya, YIT akan membuka tiga buah lagi tadika membabitkan kos keseluruhan hampir RM10 juta di tiga daerah di negeri ini.

“Pembinaan tadika masing-masing bertempat Seberang Takir, Kuala Terengganu; Kijal, Kemaman dan Bandar Al Muktafi Billah Shah, Ketengah, Dungun itu mampu menambah keperluan ibu bapa yang semakin terdesak,” katanya.

Katanya, apa yang membanggakan tadika YIT di Seberang Takir yang akan beroperasi tahun depan sudah menerima permohonan daripada ibu bapa untuk menempatkan anak masing-masing bagi sesi pembelajaran 2012.